Teknik RMS Bantu Kawal Emosi | Julia Johari
Booking.com

Teknik RMS Bantu Kawal Emosi

Reda + Maaf + Syukur = Emosi Positif
Ada masanya kita tidak sedar apa puncanya kita marah-marah. Mungkin disebabkan perasaan cemburu atau kecil hati atau persekitaran yang memberi kita tekanan sehingga menimbulkan perasaan marah.With Julia kali ini ingin membantu para-para blogger dan diri julia juga untuk turut serta bagi mengenal apa itu RMS.
Jom kita pelajarinya....
Bayangkan juga....
 jika anda terpaksa berdepan individu yang sering marah-marah apatah lagi jika tidak diketahui apa puncanya. Apabila sudah marah, ada saja yang tidak kena. Lebih parah lagi orang yang dibelenggu perasaan marah sering tidak mampu mengawal diri lantas bertindak di luar kewarasan fikiran. Dua insiden mengejutkan Ahad lalu tidak mustahil ada kaitannya dengan perasaan marah yang tidak dapat dibendung lagi.
Di Nibong Tebal, Pulau Pinang, seorang ibu sanggup membakar diri kerana kecewa dengan kedegilan anaknya. Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki Indonesia dibunuh kerana bercinta dengan isteri orang.
Menurut Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Kaunseling Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, untuk memahami kemarahan, seseorang perlu memahami psikologi.
Kemarahan tidak berlaku tanpa tiada sebab. Ia seperti satu transformasi yang berubah disebabkan sesuatu. Misalnya, kecewa dan putus asa boleh melarat kepada perasaan marah.
“Lebih mudah, marah terjadi kerana ada sesuatu bertindak sebagai pencetus. Jika seseorang berfikiran negatif, maka dia tidak boleh menguruskan kemarahan tersebut dengan baik. Misalnya, dalam kes Roslina Rosli, 33 yang membakar dirinya, mungkin dia berasa kecewa, merajuk, diketepikan dan tidak dihormati oleh anaknya. Justeru itu, dia seharusnya mengawal kemarahannya pada peringkat awal,” jelasnya.
Tambah Dr. Haslee, mungkin wanita tersebut juga tertekan kerana tidak dibantu oleh suaminya dalam menangani emosi marah. Dalam kata lain, perasaan wanita tersebut tidak diurus dengan baik. Lazimnya, seorang wanita akan berasa lebih tenang jika emosinya mendapat sokongan orang tersayang.
Sementara itu, marah terdiri daripada dua jenis iaitu marah yang terkawal dan tidak boleh dikawal.
“Seseorang yang mengalami kemarahan tidak terkawal boleh mengamuk dan bertindak tidak rasional. Individu seperti ini ialah orang yang berfikiran negatif.
“Manakala mereka yang boleh mengawal kemarahan mempunyai minda yang boleh berfungsi dan berfikir untuk memperbaiki keadaan dan bukan memburukkan situasi,” ujarnya.
Untuk mengawal kemarahan, seseorang perlu ada kesedaran. Jika mereka sedar, kita ada kesempatan memperbaiki keadaan dan diri. Jika kita tangani peristiwa itu secara positif, seseorang boleh berada dalam keadaan gembira dan reda.
“Tafsiran sesuatu peristiwa mempengaruhi fikiran dan jika positif, kita dapat membuat pilihan mengawal dengan baik. Dalam kes yang lepas, mangsa sebenarnya perlu dibantu jika perbuatannya itu menyusahkan orang lain. Dia perlu mendapatkan rawatan. Realitinya, peristiwa itu menyebabkan dia melepaskan kemarahan dan tekanan dengan cara yang salah,” jelas beliau.
Pendekatan RMS:
Justeru itu, Dr. Haslee telah menghasilkan pendekatan RMS untuk membantu meningkatkan kesihatan psikologi. Kaedah ini lebih praktikal diguna dalam kaunseling.
“RMS merupakan singkatan untuk Reda, Maaf dan Syukur. Reda ialah menerima takdir dengan hati yang terbuka. Oleh itu, jiwa akan tenang. Selain itu, setiap orang perlu ada sifat pemaaf kerana kita tidak akan menyimpan setiap kemarahan di dalam hati. Kita akan melepaskan perasaan itu dan membiarkannya pergi. Jika kita tidak memaafkan orang lain, kita akan sakit hati dan bersikap keras hati. Justeru itu, perasaan bengang akan timbul dan menganggu cara berinteraksi dengan orang lain,” jelasnya. Sementara itu, seseorang juga perlu ada perasaan syukur. Apabila seseorang bersyukur, ia bermaksud dia sentiasa berterima kasih setiap apa yang dimilikinya. Namun, Dr. Haslee memberitahu, ramai yang tidak bersyukur dengan kelebihan dan memperbesar-besarkan kekurangan. Jika ini berlaku, maka banyak benda negatif akan berlaku.
Dalam konteks ibu dan anak, si ibu perlu menerima kekurangan anak dan bersyukur dengan kekurangannya. Tiada siapa yang membantu diri sendiri melainkan fikiran kita menjadi positif. Si anak juga perlu mengamalkan sistem RMS iaitu reda, bersedia memaafkan diri sendiri dan orang lain serta bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling.
Persoalan mengawal kemarahan ini datang daripada diri sendiri. ia boleh menghasilkan emosi matang dan emosi tidak matang.
“Contohnya di pejabat, jika ada berlaku kesilapan dalam kerja, seorang ketua yang mempunyai emosi matang akan berfikir dahulu sebelum bertindak. Jika ketua tidak mempunyai emosi yang matang, dia akan melenting untuk melepaskan kemarahannya. Ini bermakna, dia belum berjaya mengatasi kemarahannya,” katanya.
Dalam pada itu kemarahan yang berpanjangan boleh memudaratkan diri dan orang lain. Hakikatnya, kemarahan ini tidak memberi sebarang faedah. Tetapi orang yang memendam perasaan juga boleh memakan diri. Jika dia tidak berjaya mengurus kemarahan, dia akan melepas dengan cara yang salah.
Pengurusan kemarahan
 Pengurusan kemarahan adalah teknik mengurangkan emosi marah dan reaksi fisiologi yang timbul apabila marah. Kita tidak mungkin menghapuskan kemarahan sepenuhnya, tapi kita boleh mengurangkannya dan belajar menanganinya.
“Kita mempunyai cara yang mudah iaitu kaedah 5W1H iaitu apa, di mana, siapa, bila, mengapa dan bagaimana. Jika setiap individu mempunyai jawapannya, maka dia akan tahu punca kemarahannya. Walaupun nampak remeh, ia dapat membantu menjawab pertanyaan kepada kita marah. Misalnya, jika si ibu tadi dapat menjawab persoalan-persoalan ini, dia mungkin dapat mengurus kemarahan dengan betul,” katanya.
Jika individu sanggup membunuh kerana cemburu, ini bermakna perasaan ini memang tidak dapat dikawal. Tekanan perasaan seperti kesempitan duit dan cemburu merupakan punca-punca lazim kepada sifat marah. Ia secara tidak langsung menganggu kawalan emosi. Dr. Haslee menambah, meningkatnya tekanan akan menyukarkan kita mengawal perasaan.
“Penjagaan diri juga penting untuk mengawal emosi. Ia dapat mengawal kesihatan fizikal dan emosi. Jika kita tersilap makan, kita ada simptom tetapi sakit perasaan, seseorang itu hanya makan hati,” ujarnya.

Mengulas tentang perhubungan suami dan isteri, Dr. Haslee memberitahu, suami sebagai ketua keluarga perlu tahu keadaan keluarga sama ada berlaku kekurangan dan perubahan.
” Paling mudah, kita mengikut cara Nabi Muhammad S.AW. Rasulullah berjaya mengawal kemarahan kerana mungkin baginda sentiasa bersyukur. Perkara inilah yang perlu dilakukan setiap umat Islam,” jelasnya.

Sumber : RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH (Utusan Malaysia)
-The End-

3 comments:

  1. wa\\weeee..........
    bagus jue......lama x masuk blog jue nie.....hehehe......sekali masuk mesti dapat info yg berguna pnya...huhuhuhuh......

    ReplyDelete
  2. teya: tq dear....moga perkongsian ini dapat mmeberi sinar kebaikan..

    Myfandy: tq fandy...motivasi utk semua dan utk diri sendiri jua..:)

    ReplyDelete

Sharing is Caring, Thank You Drop Some Comment Here :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Booking.com